Monday, August 3, 2009

TAJAM BILAH ATAU LIDAH ?

Sabtu kelmarin Pak Uda berada di rumah kang (abang) Waryono kerana dijemput kenduri. Selesai kenduri kami sempat bersembang panjang kerana sudah lama tidak berjumpa. Dalam sembang itu, kami ada cakap fasal keris sedikit. Amir, seorang muda dan jiran tinggal bersebelahan rumah kang Waryono juga turut hadir dan sama-sama duduk berkenalan.

Budak Amir meminta izin pada kang Waryono untuk melihat keris Jawanya yang digantung di halaman rumah. Kang Waryono menghulurkannya sebilah. Dengan bersahaja budak Amir pun mengeluarkan bilahnya dan tersenyum.

Ditanya kenapa? Budak Amir itu menggelengkan kepala dan tidak menjawap apa-apa.

Kemudian di ambilnya keris Jawa yang lagi satu.

Sekali lagi, dia tersenyum sumbang dan berkata “Beginilah keris Jawa. Bilahnya agak tipis dan kadang-kala mudah dibengkok. Cantiknya cuma pada pamornya sahaja tetapi tidak tegap dan layak untuk dibuat lawan. Tidak macam keris Bugis. Bilahnya tegap, tebal, tajam dan layak dibuat berentap. Lebih garang tampaknya. Manis pun ada. Saya kurang minat dengan keris Jawa.” tambah Amir dengan selamba.

Pak Uda tersentak dan terkejut dengan kelancangan lidah budak Amir itu. Diikutkan hati, hendak saja Pak Uda sumbat mulutnya dengan sepatu.

Kang Waryono cuma berdiam dan menundukkan kepalanya. Kemudian diambil kerisnya itu dari tangan si Amir dan disimpannya baik-baik. Dengan nada yang agak tenang, dia menjelaskan “Keris itu namanya Brojol pijetan, pamor dwi-warna Tambal dan Wos Wutah tangguh Majapahit. Keris itu kepunyaan pusaka keluarga”.

Zahirnya bilah Jawa ini tidak setebal dan setegap bilah Bugis, tetapi hanya Allah dan tuannya sahaja yang tahu sifat dan kuatnya kebatinan keris ini. Falsafah keris ini amat dalam. Begitu juga dengan kehalusan seni tempa yang empu itu lakukan dalam pembuatan kerisnya itu.

Sebenarnya Pak Uda malu dengan sikap budak itu. Semacam menghina atau pandang rendah pada orang yang megumpul keris Jawa. Jangan begitu!

Baik keris Melayu, Jawa, Bali, Sumatra atau Bugis, kesemuanya ada keindahan dan kekurangan masing-masing. Ini semua bergantung pada adat tradisi, cara kelakuan rasmi, falsafah hidup dan kepercayaan bangsa kaum itu. Kita harus faham mengapa keris itu dijadikan sebegitu rupa dan bukan beza membezakan antara satu bangsa dengan yang lain. Itu perbandingan berat sebelah dan tidak sepadan namanya.

Masuk rumah orang bawa akal yang tajam bukan lidah yang tajam. Kalau tidak berminat, jangan sibuk hendak melihat. Kalau sudah melihat, pelihara lidah jaga hati.