Monday, October 19, 2009

MOVIE ‘LORDS OF THE KERIS’ ?

Kadang-kala kita amat asyik menonton filem barat dengan special effect-nya yang baik dan jalan ceritanya yang cukup menarik. Walaupun itu semua adalah cerita berupa fiction atau science-fi semata-mata, paling-paling tidak ia memperlihatkan seni kreatifnya. Contoh filem yang Pak Uda maksudkan ialah seperti Star Wars, Lord of the Ring, Pirates of the Carribean, Indiana Jones dan sebagainya. Bayangkan kisah tentang sebentuk cincin dijadikan filem Lord of the Rings!

Hmmm... agaknya bila kisah atau cerita tentang keris akan di-‘Steven Speilberg’-kan atau hendak di-‘Lucasfilm’-kan? Pendek kata bila akan keluar movie ‘Lords of the Keris’ ?

Apakah kita kurang daya atau kurang idea kreatif. Mungkin kerana budget menjadi hambatan? Namum itu soal kecil saya rasa.

Kalau pun bukan filem, kenapa tidak dalam bentuk animasi seperti cerita - Avatar, Inuyashi, Final Fantasy dan sebagainya.


Negara jiran kita, Thailand telah terbitkan sebuah filem epik menarik bertajuk 'Queens of Langkasuka' pada tahun 2008 dimana kegunaan props, pakaian, senjata, screenplay, visual dan segalanya telah direka dan diarah dengan penuh terperinci dan terkaji - baik sekali.

Cuba fikirkan usulan Pak Uda itu. Jangan hanya berbangga dengan filem cinta lapuk ‘Puteri Gunung Ledang’ itu sahaja.


Dan lagi satu, tidak usahlah keluarkan lagi filem-filem pasal setan dan hantu. Sudah banyak sangat! Itu semua membosankan dan hanya buang duit produksi dan penonton saja!

Tuesday, October 13, 2009

PUSAKA ATAU PUAKA

Tidak ada masalahnya jika senjata-senjata antik atau tosan aji seperti keris, badik, pedang, tombak dan sebagainya dijadikan pusaka keluarga.

Namun kita harus beringat dan berfikiran jauh sambil berusaha untuk menanamkan minat pada anak cucu kita agar mereka tahu tentang benda-benda ini semua dan bagaimana hendak 'menjaganya' supaya tidak rosak, berkarat dan terbiar tidak terurus. Istilahnya perpengetahuan.

Bukan apa, Pak Uda cuma beri nasihat. Benda-benda antik ini semua, kalau dinilai dengan wang kertas adalah mahal harganya. Malah lebih dari itu, kita ingin melihat kesinambungan dan pelestarian seni warisan ini berterusan dan dibukukan (dikaji), bukan pupus ditelan zaman. Harga ilmu pengetahuan tentang seni yang murni ini dan salasilah sejarahnya memang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Maka itu, tanamkanlah minat pada anak cucu kita tentang keindahan seninya, tentang bahan-bahan yang digunakannya (jenis besi, kayu, gading, tanduk, tulang, dll), tentang seni ukirannya (motif, reka benduknya, dll), tentang sejarah orang dan kehidupan suku bangsanya, tentang cara tempa dan pembuatannya, tentang ilmu sains metallurgy dan kimianya, tentang falsafah keris itu dan walhal bayak lagi. Ilmu murni inilah yang akan berkembang dan terus dikaji manusia. Pengaruh sebeginilah yang harus diajar dan dipupuk supaya pusaka yang diturunkan dan diwarisinya itu menjadi lebih berharga dan berguna.


BUKAN dipengaruhi dengan ilmu dukun, ghaib, soal khadam, kekebalan, pendinding, tolak bala, murah rezeki dan hal-hal yang boleh membawa kepada syirik! Takut nanti rosak akidah iman azab pula menimpa badan.

BUKAN dipengaruhi dengan petua-petua karut mulut ke mulut tanpa berasas atau penjelasan yang sebenar, masuk akal dan kukuh. Atau cerita-cerita kampung yang dapat mengasingkan diri sendiri daripada masyarakat dan keluarga. Takut nanti digelak dek orang kerana kebodohan sendiri.

BUKAN dipengaruhi dengan kedudukan darjat dan kekayaan supaya anak cucu kita nanti dapat menunjuk-nunjuk dan bermegah sombong di depan orang lain. Takut nanti keris menikam diri.

Sambil minum secawan kopi, fikirkanlah hal ini dengan pandangan yang jauh dan matang. Apa yang hendak kita wariskan kepada anak cucu kita kelak - Pusaka (ilmu pengetahuan) atau puaka (ilmu merosakkan)? Jangan bebankan keluarga dan anak cucu kita dengan hal-hal dan perkara yang sia-sia dan merugikan.

MUSLIHAT MUSANG BERJANGGUT

Pak Uda sempat berjalan-jalan dan singgah ke kedai sahabat yang menjual keris. Disana terserempak pula dengan Joe, juga seorang kawan yang sudah lama bermain keris. Joe sedang mencuci kerisnya.

“Wah!!! Keris Jawa dapur Kala Wija luk 29! Keris tua dan langka ni!” pegun saya.

“Keris ini ada ceritanya. Saya bermimpi dan kemudian kesesokkan harinya datang ke kedai dan ternampak keris ini. Saya pun terus membelinya. Entahlah, semacam keris mendatang begitu. Itu pun ada 'musang berjanggut' yang cuba hendak merampas keris ini dari tangan saya” ujar Joe.


Maka diceritakan kejadian itu. Alkisah, setelah Joe membeli keris itu dia wangikannya dengan minyak keris campuran minyak cendana dan melati yang sudah disediakan tuan kedai. Kemudian dia tinggalkan keris itu berdiri di para-para keris agar minyak berlebihan itu dapat turun. Tidak disedari datang seorang kolektor lain bernama Wan dan ternampak keris itu.

“Keris ni awak punya ke?” dengan pantas Wan bertanya.

“Bukan. Untuk dijual saya rasa. Saya cuma membelek-belek aje keris ini” jawab Joe yang sudah kenal benar dengan perangai Wan yang penuh muslihat itu.

“Keris ini luk 29, dapur Kala Wija! Hmmm... Dapur ini tidak baik untuk disimpan. Keris ini terkeluar daripada pakem keris dan tidak ikut peraturan adab pembuatan keris. Keris semacam ini tidak patut dan tidak layak disimpan. Ini semua rekaan orang sekarang!” alasan Wan.

Joe hanya berdiam sahaja tidak melayan kata-kata Wan. Dia terus membelek keris yang sudah dibelinya itu. Joe sengaja tidak bersuara.

Wan dengan pantas berjumpa tuan kedai dan bertanyakan mahar keris itu. Dia benar-benar mahu membelinya.

Alangkah terkejut dan malunya dia apabila diberitahu keris itu sudah jadi milik Joe.


Alahai... Beginilah sesetengah ragam kolektor. Dilemparnya kata-kata buruk dan tidak baik pada keris itu sedangkan dihati sebenar sudah tertawan hendak mempunya. Dia tahu keris itu tua, sepuh, masih utuh dan langka.

Orang penuh muslihat diibaratkan musang berbulu ayam, ada udang disebalik batu. Malangnya hendak pasang jerat terkena diri sendiri. Tergelak hati Pak Uda mendengar cerita Joe itu tadi. Selepas itu Pak Uda dan Joe pun minum kopi di warung sebelah.

(Nama-nama yang digunakan bukan nama sebenar)

TOSAN AJI MANAKAH JADI PILIHAN?

Pak Uda amat berkenan dengan komen seorang sahabat yang menetap di Solo, Jawa Tengah. Beliau ini seorang kolektor, juga seorang usahawan menjual tosan aji dan aktif dalam persatuan perkerisan di tanah Jawa sana.

Beliau telah ditanya oleh anak saudaranya yang kebetulan tidak berminat sangat tentang keris dan tosan aji.

Katanya “Jika ada satu pilihan, tosan aji manakah yang layak disimpan”?

Sahabat Pak Uda pun menjawab “Keris yang utuh dan lurus”.

Sama tersenyum, maka mereka berdua faham akan maksud dan falsafah keris UTUH and LURUS itu.

Begitulah kehidupan manusia, kesimpulannya selagi hayat dikandung badan kita harus punya pendirian dan matlamat yang teguh dan kuat. Sentiasa berlaku adil, jujur, ikhlas, amanah dan harus kuat semangat dalam menerajui kehidupan seharian. Perjalanan kita harus satu dan lurus; dan sentiasa meminta berdoa dan beriman kepada Allah supaya ditunjukkan jalan yang direda. Insyaallah.

Monday, August 3, 2009

MALIM ATAU MALING ?

Bulan lepas Pak Uda sempat hadir ke rumah kawan kerana dia membuat jamuan rumah terbuka di rumah barunya. Kawan Pak Uda ini juga seorang kolektor keris dan tosan aji yang mapan dan berpengalaman. Sudah tentu, dia mempunyai koleksi-koleksi senjata yang banyak lagi hebat.

Ramai para sahabat dan kolektor datang sambil melihat rumah barunya dan ruang khas ala muzium untuk menyimpan koleksinya. Rumah barunya agak luas dan cantik ubah eloknya. Syabas!

Seminggu kemudian, Pak Uda diberitahu oleh kawan itu bahawa sebilah pedangnya sudah dimaling orang! Pak Uda agak terperanjat kerana diwaktu itu ramai para hadirin yang berada di ruang tersebut. Dan agak pelik juga kerana pedang yang panjang itu dapat diloloskan.

Ditanya pedang yang mana satu? Beliau menjawab “Yang dicurinya ialah pedang klewang Aceh. Bilahnya ada dua sogokan yang dalam. Sarungnya serba perak ditatah ukiran halus. Hulu pedang itu pula diperbuat daripada tanduk kerbau hitam juga dengan ukiran makara halus”. Dengan pantas Pak Uda tahu pedang yang dimaksudkannya itu.

“Mungkin ada komplot yang bersubahat. Kalau tidak mana boleh lepas pandangan benda panjang dan sebesar itu?” jelas Pak Uda.

Setelah beberapa hari dihebohkan berita, akhirnya kita digemparkan dengan maklumat akan siapa si pencuri itu. Kawan Pak Uda pun bersemuka dengan si maling itu sendirian. Memang tidak disangka, si maling itu kemudian mempelawa kawan Pak Uda untuk berlaga dan beradu kekuatan. Siapa menang, pedang itu akan menjadi miliknya.

Memang bukan anak jantan! Sudah mencuri kemudian diajak berlaga. Kawan Pak Uda itu tenang sahaja dan kemudian pulang dengan tangan kosong. Tidak guna berlaga, tidak guna bertumpah darah. Kalau itu yang dia mahu, maka haram baginya.

Alahai, kesian saya lihat kawan Pak Uda itu. Dalam kita berkawan, ketawa dan makan bersama, rupa-rupanya si bacul itu ada simpan gunting dalam lipatan.

Hai.. nampak muka macam orang malim tapi maling!

TAJAM BILAH ATAU LIDAH ?

Sabtu kelmarin Pak Uda berada di rumah kang (abang) Waryono kerana dijemput kenduri. Selesai kenduri kami sempat bersembang panjang kerana sudah lama tidak berjumpa. Dalam sembang itu, kami ada cakap fasal keris sedikit. Amir, seorang muda dan jiran tinggal bersebelahan rumah kang Waryono juga turut hadir dan sama-sama duduk berkenalan.

Budak Amir meminta izin pada kang Waryono untuk melihat keris Jawanya yang digantung di halaman rumah. Kang Waryono menghulurkannya sebilah. Dengan bersahaja budak Amir pun mengeluarkan bilahnya dan tersenyum.

Ditanya kenapa? Budak Amir itu menggelengkan kepala dan tidak menjawap apa-apa.

Kemudian di ambilnya keris Jawa yang lagi satu.

Sekali lagi, dia tersenyum sumbang dan berkata “Beginilah keris Jawa. Bilahnya agak tipis dan kadang-kala mudah dibengkok. Cantiknya cuma pada pamornya sahaja tetapi tidak tegap dan layak untuk dibuat lawan. Tidak macam keris Bugis. Bilahnya tegap, tebal, tajam dan layak dibuat berentap. Lebih garang tampaknya. Manis pun ada. Saya kurang minat dengan keris Jawa.” tambah Amir dengan selamba.

Pak Uda tersentak dan terkejut dengan kelancangan lidah budak Amir itu. Diikutkan hati, hendak saja Pak Uda sumbat mulutnya dengan sepatu.

Kang Waryono cuma berdiam dan menundukkan kepalanya. Kemudian diambil kerisnya itu dari tangan si Amir dan disimpannya baik-baik. Dengan nada yang agak tenang, dia menjelaskan “Keris itu namanya Brojol pijetan, pamor dwi-warna Tambal dan Wos Wutah tangguh Majapahit. Keris itu kepunyaan pusaka keluarga”.

Zahirnya bilah Jawa ini tidak setebal dan setegap bilah Bugis, tetapi hanya Allah dan tuannya sahaja yang tahu sifat dan kuatnya kebatinan keris ini. Falsafah keris ini amat dalam. Begitu juga dengan kehalusan seni tempa yang empu itu lakukan dalam pembuatan kerisnya itu.

Sebenarnya Pak Uda malu dengan sikap budak itu. Semacam menghina atau pandang rendah pada orang yang megumpul keris Jawa. Jangan begitu!

Baik keris Melayu, Jawa, Bali, Sumatra atau Bugis, kesemuanya ada keindahan dan kekurangan masing-masing. Ini semua bergantung pada adat tradisi, cara kelakuan rasmi, falsafah hidup dan kepercayaan bangsa kaum itu. Kita harus faham mengapa keris itu dijadikan sebegitu rupa dan bukan beza membezakan antara satu bangsa dengan yang lain. Itu perbandingan berat sebelah dan tidak sepadan namanya.

Masuk rumah orang bawa akal yang tajam bukan lidah yang tajam. Kalau tidak berminat, jangan sibuk hendak melihat. Kalau sudah melihat, pelihara lidah jaga hati.



Wednesday, April 29, 2009

WANG GAJI UNTUK KERIS ?

Alahai kesiannya…

Salah satu kedai menjual keris telah diserbu isteri si pandir. Dengan membawa anak bongsunya, dia bergegas mengejar tuan kedai itu bagai seladang berang. Perempuan itu membentak agar jangan menyuruh atau mengumpan suaminya untuk membeli keris lagi. Terkejut, lalu si penjual bertanya dengan sopan apa yang telah terjadi. Diterangkan bahawa gaji suaminya bukan besar dan hanya cukup-cukup makan untuk keperluan dapur dan sekolah anak-anak. Kerana belanja banyak pada keris, si pandir selalu mengadu tidak ada duit. Barang keperluan seharian sudah tersekat. Duit simpanan pun tiada.

Begitulah kisah benar yang terjadi. Kerana kecanduan keris, keperluan keluarga tidak diendahkan.

Peringatan ini juga untuk Pak Uda sendiri. Kita harus bijak uruskan wang dan berhemat dalam pembelanjaan seharian. Bezakan mana satu yang perlu, penting dan remeh. Kalau ada kelebihan, tidak salah berbelanja lebih sedikit. Fikirlah untuk hari esok.

Penjual keris tidak pernah mendesak, kita yang sesak…


(hmmm... Kalau hendak diikutkan, mana ada isteri yang suka suaminya kumpul keris. Kalau kumpul emas, sukalah dia....)

Wednesday, April 22, 2009

GOLONGAN KOLEKTOR KERIS ?

Sekian lama Pak Uda ‘bermain’ keris, berbagai-bagai orang yang Pak Uda lihat dan bermacam-macam gelagat kita perhatikan.

Pak Uda juga seorang penggemar/kolektor keris dan senjata pusaka lama seperti badik, tumbuk lada, sewar, pedang, golok, rencong, tombak, kerambit dan lain-lain. Rasanya jika ada 3 bilah keris atau lebih dalam simpanan, layaklah kita dipanggil sebagai seorang kolektor.

Ada baiknya kita mengambil tahu kolektor yang bagaimanakah kita digolongkan. Tanya pada diri sendiri mengapa kita minat mengumpul keris? Mungkin kerana kita minat...

1) Pada cara penggunaan dan permainannya sebagai alat dalam seni bela diri :
Seperti dalam persilatan. Namun awas, Pak Uda pernah dilemparkan dengan kata-kata sumbang yang berbunyi demikian “Kalau tak pandai silat, buat apa main keris”. Sambil tersenyum sinis, Pak Uda membalas "Kalau pandai silat, buat apa guna keris?"

2) Pada keindahan seninya :
Yakni keindahan pada zahirnya. Kerjatangan si tukang yang halus dan kemas lagi manis menunjukkan kemahiran dan pengalamannya. Baik dari bijak dalam pemilihan jenis besinya, suhu panas tempaannya, garapannya hingga ke ukiran sarung-hulunya. Tidak kira keris baru atau lama.

3) Pada hal mistiknya :
Biasanya golongan ini akan memilih keris-keris lama atau kuno kerana ‘sifat kebatinannya’. Dipercayai kegunaannya untuk dalam perubatan, bidan, penjaga rumah, pendinding diri dan sebaginya. Mereka juga percaya pada ‘tuah’ keris itu.

4) Pada khazanah lama dan barangan antik :
Golongan yang suka pada kajian sejarahnya, keasliannya, pemeliaraan dan pelestarian warisan lama. Tidak berminat pada buatan baru.

5) Untuk mewarisi salasilah keturunannya atau martabatnya :
Golongan ini sangat suka mencari warisan keluarganya dan mencari pusaka keturunannya. Ada kata-kata sumbang berbunyi demikian “Aku ini keturunan Raja Sipulan Bin Raja Si Anu. Orang kebiasaan mana pakai keris”. Pak Uda kenal sama Raja Gopal si penjual roti tu.

6) Untuk membuat pelaburan suatu hari nanti :
Misalnya, keris lama dan langka boleh mencapai harga tinggi dalam masa 10 tahun akan datang.

7) Untuk berlagak dan menunjuk-nunjuk :
Tidak kira pendatang baru atau lama dalam dunia perkerisan. Orang beli dia pun beli, orang ada dia lagi berada. Suka bermegah pada keris mahalnya tetapi tidak mahu mengambil tahu tentang ilmu dan istilah perkerisan. Lebih terdorong dan suka pada kata-kata pujian dan jolokkan pangkat. Malah berlagak pandai dan memperkecilkan koleksi orang lain. Kemudian akhirnya menindas sahabat sendiri dan menabur pasir di periuk nasi orang lain.


Alahai...! Mana ada orang yang hendak mengaku dirinya suka bermegah dan menunjuk-nunjuk. Melainkan ditegur dek orang lain, terhantuk belum tentu dia sedar. Ada-ada saja, lain udang lain garam, lain padang lain belalang. Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Eh...! kenapa duduk aje? Jemputlah minum… rokoknya ni.

Monday, April 13, 2009

SEKAPUR SIRIH

Salam ukhwah dan salam pengenalan.


Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara


Sepinang dua pinang
Habis pinang dalam raga
Sudah dimakan sirih pinang
Apa cerita mahu dibuka



Di serambi ini, kita borak-borak dan cakap keris. Tentang pengalaman, ilmu pengetahuan, sejarah dan ragam orang dalam walhal perkerisan. Buang yang keruh, ambil yang jernih.