Bulan lepas Pak Uda sempat hadir ke rumah kawan kerana dia membuat jamuan rumah terbuka di rumah barunya. Kawan Pak Uda ini juga seorang kolektor keris dan tosan aji yang mapan dan berpengalaman. Sudah tentu, dia mempunyai koleksi-koleksi senjata yang banyak lagi hebat.
Ramai para sahabat dan kolektor datang sambil melihat rumah barunya dan ruang khas ala muzium untuk menyimpan koleksinya. Rumah barunya agak luas dan cantik ubah eloknya. Syabas!
Seminggu kemudian, Pak Uda diberitahu oleh kawan itu bahawa sebilah pedangnya sudah dimaling orang! Pak Uda agak terperanjat kerana diwaktu itu ramai para hadirin yang berada di ruang tersebut. Dan agak pelik juga kerana pedang yang panjang itu dapat diloloskan.
Ditanya pedang yang mana satu? Beliau menjawab “Yang dicurinya ialah pedang klewang Aceh. Bilahnya ada dua sogokan yang dalam. Sarungnya serba perak ditatah ukiran halus. Hulu pedang itu pula diperbuat daripada tanduk kerbau hitam juga dengan ukiran makara halus”. Dengan pantas Pak Uda tahu pedang yang dimaksudkannya itu.
“Mungkin ada komplot yang bersubahat. Kalau tidak mana boleh lepas pandangan benda panjang dan sebesar itu?” jelas Pak Uda.
Setelah beberapa hari dihebohkan berita, akhirnya kita digemparkan dengan maklumat akan siapa si pencuri itu. Kawan Pak Uda pun bersemuka dengan si maling itu sendirian. Memang tidak disangka, si maling itu kemudian mempelawa kawan Pak Uda untuk berlaga dan beradu kekuatan. Siapa menang, pedang itu akan menjadi miliknya.
Memang bukan anak jantan! Sudah mencuri kemudian diajak berlaga. Kawan Pak Uda itu tenang sahaja dan kemudian pulang dengan tangan kosong. Tidak guna berlaga, tidak guna bertumpah darah. Kalau itu yang dia mahu, maka haram baginya.
Alahai, kesian saya lihat kawan Pak Uda itu. Dalam kita berkawan, ketawa dan makan bersama, rupa-rupanya si bacul itu ada simpan gunting dalam lipatan.
Hai.. nampak muka macam orang malim tapi maling!