Wednesday, April 29, 2009

WANG GAJI UNTUK KERIS ?

Alahai kesiannya…

Salah satu kedai menjual keris telah diserbu isteri si pandir. Dengan membawa anak bongsunya, dia bergegas mengejar tuan kedai itu bagai seladang berang. Perempuan itu membentak agar jangan menyuruh atau mengumpan suaminya untuk membeli keris lagi. Terkejut, lalu si penjual bertanya dengan sopan apa yang telah terjadi. Diterangkan bahawa gaji suaminya bukan besar dan hanya cukup-cukup makan untuk keperluan dapur dan sekolah anak-anak. Kerana belanja banyak pada keris, si pandir selalu mengadu tidak ada duit. Barang keperluan seharian sudah tersekat. Duit simpanan pun tiada.

Begitulah kisah benar yang terjadi. Kerana kecanduan keris, keperluan keluarga tidak diendahkan.

Peringatan ini juga untuk Pak Uda sendiri. Kita harus bijak uruskan wang dan berhemat dalam pembelanjaan seharian. Bezakan mana satu yang perlu, penting dan remeh. Kalau ada kelebihan, tidak salah berbelanja lebih sedikit. Fikirlah untuk hari esok.

Penjual keris tidak pernah mendesak, kita yang sesak…


(hmmm... Kalau hendak diikutkan, mana ada isteri yang suka suaminya kumpul keris. Kalau kumpul emas, sukalah dia....)

Wednesday, April 22, 2009

GOLONGAN KOLEKTOR KERIS ?

Sekian lama Pak Uda ‘bermain’ keris, berbagai-bagai orang yang Pak Uda lihat dan bermacam-macam gelagat kita perhatikan.

Pak Uda juga seorang penggemar/kolektor keris dan senjata pusaka lama seperti badik, tumbuk lada, sewar, pedang, golok, rencong, tombak, kerambit dan lain-lain. Rasanya jika ada 3 bilah keris atau lebih dalam simpanan, layaklah kita dipanggil sebagai seorang kolektor.

Ada baiknya kita mengambil tahu kolektor yang bagaimanakah kita digolongkan. Tanya pada diri sendiri mengapa kita minat mengumpul keris? Mungkin kerana kita minat...

1) Pada cara penggunaan dan permainannya sebagai alat dalam seni bela diri :
Seperti dalam persilatan. Namun awas, Pak Uda pernah dilemparkan dengan kata-kata sumbang yang berbunyi demikian “Kalau tak pandai silat, buat apa main keris”. Sambil tersenyum sinis, Pak Uda membalas "Kalau pandai silat, buat apa guna keris?"

2) Pada keindahan seninya :
Yakni keindahan pada zahirnya. Kerjatangan si tukang yang halus dan kemas lagi manis menunjukkan kemahiran dan pengalamannya. Baik dari bijak dalam pemilihan jenis besinya, suhu panas tempaannya, garapannya hingga ke ukiran sarung-hulunya. Tidak kira keris baru atau lama.

3) Pada hal mistiknya :
Biasanya golongan ini akan memilih keris-keris lama atau kuno kerana ‘sifat kebatinannya’. Dipercayai kegunaannya untuk dalam perubatan, bidan, penjaga rumah, pendinding diri dan sebaginya. Mereka juga percaya pada ‘tuah’ keris itu.

4) Pada khazanah lama dan barangan antik :
Golongan yang suka pada kajian sejarahnya, keasliannya, pemeliaraan dan pelestarian warisan lama. Tidak berminat pada buatan baru.

5) Untuk mewarisi salasilah keturunannya atau martabatnya :
Golongan ini sangat suka mencari warisan keluarganya dan mencari pusaka keturunannya. Ada kata-kata sumbang berbunyi demikian “Aku ini keturunan Raja Sipulan Bin Raja Si Anu. Orang kebiasaan mana pakai keris”. Pak Uda kenal sama Raja Gopal si penjual roti tu.

6) Untuk membuat pelaburan suatu hari nanti :
Misalnya, keris lama dan langka boleh mencapai harga tinggi dalam masa 10 tahun akan datang.

7) Untuk berlagak dan menunjuk-nunjuk :
Tidak kira pendatang baru atau lama dalam dunia perkerisan. Orang beli dia pun beli, orang ada dia lagi berada. Suka bermegah pada keris mahalnya tetapi tidak mahu mengambil tahu tentang ilmu dan istilah perkerisan. Lebih terdorong dan suka pada kata-kata pujian dan jolokkan pangkat. Malah berlagak pandai dan memperkecilkan koleksi orang lain. Kemudian akhirnya menindas sahabat sendiri dan menabur pasir di periuk nasi orang lain.


Alahai...! Mana ada orang yang hendak mengaku dirinya suka bermegah dan menunjuk-nunjuk. Melainkan ditegur dek orang lain, terhantuk belum tentu dia sedar. Ada-ada saja, lain udang lain garam, lain padang lain belalang. Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Eh...! kenapa duduk aje? Jemputlah minum… rokoknya ni.

Monday, April 13, 2009

SEKAPUR SIRIH

Salam ukhwah dan salam pengenalan.


Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara


Sepinang dua pinang
Habis pinang dalam raga
Sudah dimakan sirih pinang
Apa cerita mahu dibuka



Di serambi ini, kita borak-borak dan cakap keris. Tentang pengalaman, ilmu pengetahuan, sejarah dan ragam orang dalam walhal perkerisan. Buang yang keruh, ambil yang jernih.